Sekeping gambar yang dimuatnaik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di media sosial pada Selasa malam menarik perhatian netizen dan pemerhati politik.

Gambar tersebut memaparkan Najib bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein duduk semeja.

"Kami sepakat demi masa depan parti, ummah dan negara," tulis Najib di laman Facebook dan Twitter miliknya.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu tidak menyatakan apa yang dibincangkan bersama tiga pemimpin UMNO itu.

Antara pengguna Facebook yang meninggalkan komen ialah Loganathan Kalyani yang menyatakan hasratnya supaya Najib kembali mengambil kuasa demi kemakmuran dan keharmonian negara.

Sementara itu, seorang netizen yang menggunakan nama Ahmad Albab mengingatkan UMNO, apa pun perancangannya, peranan Pas tidak harus dilupakan.

"Ingatlah bahawa tiga penjuru menyumbang kekalahan BN. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bersama kita tumbangkan Hegemoni BangsaDAP di PRU15," katanya.





Seorang lagi pengguna, Megat Zulkarnain mengucapkan syukur dan tahniah kepada empat pemimpin itu.

"Sesungguhnya ahli-ahli UMNO amat mengharapkan kepada Datuk Seri semua. Pastinya jutaan ahli-ahli yang tetap setia dan tak pernah goyang pendirian mereka terhadap perjuangan UMNO amat terharu dan gembira melihat pertemuan ini," katanya.

Sambil itu, ada juga yang memuji Najib yang kini mempunyai 3.5 juta pengikut di media sosial.