KUALA LUMPUR: Sebuah premis penyembelihan ayam di kawasan perindustrian Batu Caves bukan sekadar kotor, malahan najis tikus turut ditemukan di ruangan aktiviti memproses ayam.

Pemandangan jijik itu dikesan susulan pemeriksaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan, Indah Water Konsortium dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan terhadap dua premis di kawasan berkenaan, pada Khamis.

Berikutan keadaannya yang kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan itu, premis tersebut dikenakan dua kompaun dan diarah menutup operasi mereka serta-merta.

Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, hasil pemeriksaan mendapati, lantai serta dinding ruang memproses ayam berkarat, berlumut, berdaki hitam dan kotor.

"Malah, beberapa pengendali makanan di premis tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri kerana hampir semua pekerja merupakan warga asing.

"Premis tersebut juga tiada sistem penapisan sisa efluen dan ia dialirkan terus ke dalam saliran longkang awam bersekali dengan fizikal dan darah ayam yang disembelih.

"Ayam turut diletakkan atau diproses di atas lantai, tiada sijil tauliah penyembelihan dan sijil halal serta tandas yang kotor dan tiada kelengkapan asas," katanya, pada Jumaat.

Justeru itu, DBKL telah mengeluarkan notis Perintah Penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 terhadap premis terbabit serta-merta.

"Pengambilan sampel ayam dan sisa air efluen dilaksanakan untuk dianalisa," ujarnya.

DBKL menegaskan, pemeriksaan secara berkala dan bersepadu terhadap premis-premis seumpama ini akan dilaksanakan berterusan dari semasa ke semasa.