KANGAR: Tapak Perkhemahan Nakawan Base Camp di Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer, dekat ini bukan sahaja menawarkan percutian beriadah sekeluarga yang unik malah mempunyai keindahan alam semulajadi yang nyaman dan menyegarkan.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah berkumpul di sekeliling unggun api sambil berkongsi cerita, menyanyi, bermain alat muzik dan menikmati hidangan makan malam bersama sepanjang malam.



Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata, tapak perkhemahan itu dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan bilik air yang dapat memberi keselesaan kepada pengunjung untuk memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga.

"Dengan hanya membayar serendah RM20 bagi tapak kecil dan RM25 tapak besar, pengunjung boleh mengunakan kemudahan yang terdapat di tapak perkhemahan itu dan sambil ibu bapa berpeluang mendedahkan aktiviti luar yang santai kepada anak-anak mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, taman berkenaan mempunyai 20 tapak khemah dengan perkhidmatan sewa khemah disediakan bagi memudahkan pengunjung yang tidak perlu bersusah payah membawa peralatan perkhemahan sendiri.

"Kita juga menyediakan bekalan elektrik, dewan, tempat mandi, unggun api, tempat parkir kenderaan, kawasan berpagar dan banyak lagi kemudahan lain," katanya.



Awang Shaffie berkata tapak perkhemahan itu dibuka setiap hari namun orang ramai dinasihati agar membuat tempahan awal.

Beliau berkata pihaknya akan memperkenalkan satu lagi produk baharu di Nakawan Base Camp iaitu pakej melihat klip-klip di sekitar Taman Eko Rimba Bukit Ayer yang pasti memberi satu pengalaman unik buat pengunjung.

Katanya pelawat yang berkunjung ke mana-mana destinasi pelancongan di Perlis perlu mematuhi peraturan dan Prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

-- BERNAMA