KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini dahagakan pembaharuan dalam usaha kerajaan memupuk perpaduan serta menangani krisis pandemik COVID-19 dan ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, harapan rakyat itu perlu direalisasikan kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Najib berpendapat, nama kerajaan baharu tidak perlu menjadi keutamaan kepada Perdana Menteri kesembilan itu.

Sebaliknya, tegas Najib, apa yang paling penting ialah kerajaan mengutamakan pencapaian dan meletakkan kepentingan rakyat lebih berbanding segala-galanya.

"Nama (kerajaan) tak penting, pada saya yang  lebih diutamakan ini kerajaan baru yang akan menentukan reaksi rakyat dan penilaian rakyat (yang) akhirnya bukan kepada nama tapi kepada keberhasilan yang dilakukan kerajaan.

"Sebab itu masa saya mentadbira negara saya mengutamakan pencapaian diutamakan, yang mana kita mesti menunjukan pencapaian... inilah (yang) rakyat nak," jelas beliau lagi.

Menurut beliau, memenuhi aspirasi rakyat akan menjadi mekanisme terbaik dalam melicinkan pentadbiran kerajaan.

"Kalau stategi lama dasar lama tidak berhasil maka perlu diubah dan dicari pendekatan dan strategi baharu.

"Jika strategi lama tidak menampakan hasil, kalau diteruskan maka itu tidak boleh diharapkan peningkatan keberhasilan, ini rakyat harap berdasar komen yang saya dapat teliti di media sosial," katanya dalam sidang media di kediamannya pada Rabu.

BACA: PH saran Perdana Menteri pertimbang usaha reformasi institusi

BACA: Kabinet perlu lebih kecil, jangan libatkan 'kluster mahkamah' - Tun Mahathir

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu melepaskan misi kemanusiaan yang membawa sumbangan untuk mangsa banjir Merbok dan Yan, Kedah.

Sumbangan berjumlah RM100,000 itu dalam 1,000 bantuan keperluan yang terdiri daripada lampin pakai buang, beras, bihun dan pelitup muka.

Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat agar memberikan ruang dan masa kepada Ismail Sabri untuk mengatur gerak kerja sebelum sebarang pendapat dibuat.