AL-BAB, Syria: Kesan perang terhadap kanak-kanak Syria dianggap yang paling dahsyat pernah terjadi dalam sejarah.

Data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) merekodkan lebih 2.5 juta dari mereka kehilangan tempat tinggal serta menjadi pelarian di dalam dan luar negara itu.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat peperangan yang telah berlanjutan selama satu dekad di bumi Syria.

Astro AWANI ditemukan dengan beberapa kanak-kanak yatim piatu di kem pelarian Bza'aa, Al-Bab, Syria melalui misi kemanusiaan musim sejuk Malaysia For Syria (MFS).

Salah seorangnya Bahar Muhammad, 10, yang kehilangan ibu bapanya sejak 2016 akibat pengeboman rejim Bashar di Aleppo dan kini hidup sebatang kara serta tanpa arah tujuan.

Dia yang belum mengenal dunia diheret ke kancah peperangan dan menjadi pelarian dalam negara sendiri.

Bahar Muhammad yang kehilangan ibu bapanya sejak 2016 akibat pengeboman rejim Bashar di Aleppo. - Foto Astro AWANI/Afiezy Azaman

Tanpa perlindungan, pendidikan malah keperluan asas harian di kem pelarian menambah derita Bahar.

Di sebalik penderitaan itu, Bahar masih menyambut kedatangan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dengan senyuman yang ceria dan girang.

Ketika ditanya apa perkara yang dimahukan, Bahar menjawab dia hanya mahukan gula-gula, kerana hanya itulah yang diterimanya sejak kecil dan mampu menggembirakannya.

Hanya dengan bergantung kepada bantuan kemanusiaan, Bahar dapat meneruskan kehidupan yang masih belum diketahui masa depannya.

Nasib yang sama juga menimpa Kamil dan Zainab yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun.

Bapa mereka dikenali sebagai Musa dilaporkan terkorban di Aleppo akibat serangan bom.

Nasib turut tidak menyebelahi kedua beradik ini apabila ibu mereka pula meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu ketika di khemah pelarian.

Tanpa keluarga untuk menumpang kasih sayang, Kamil dan Zainab telah belajar menempuh kehidupan sukar di kem pelarian.

Kini mereka hanya bergantung harap kepada jiran di sekitar khemah pelarian untuk mendapatkan sesuap makanan dan helaian pakaian.

Keperitan hidup mereka yang kehilangan tempat bergantung dan kasih-sayang sukar untuk diterjemahkan.

Mereka tidak mengetahui apa-apa apabila diheret ke kancah perang dan menjadi pelarian.

Melalui bantuan rakyat Malaysia, ia sedikit sebanyak meringankan beban anak-anak yatim piatu Syria di kem-kem pelarian.

Sekurang-kurangnya diharapkan mereka dapat mengutip sisa-sisa semangat yang ada untuk membina semula kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.