Pergolakan Pakatan Rakyat (PR) dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disifatkan sama dengan isu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disingkirkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Dalam posting Facebook AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan A Tantawi, krisis di Selangor itu tidak ada bezanya ketika Anwar dipecat kerana tuduhan liwat.




"Pada waktu itu rakyat bangkit dan membela Anwar. Mereka tidak anggap ini masalah dalaman UMNO sebaliknya satu kezaliman dan fitnah. Anwar mesti diberi pembelaan. Termasuklah yang membela Anwar ialah PAS.

"Kini tahun 2014, berlaku pergolakan di Negeri Selangor. Abdul Khalid akan diperlakukan oleh Anwar sebagaimana Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan ke atasnya? Apa skandal dan salah laku yang memaksa Abdul Khalid dipecat dari PKR lalu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor? Apakah perkara ini mahu dilihat hanya perkara dalaman PKR dan rakyat tidak perlu bangkit membela Abdul Khalid?," katanya.

Nasrudin mengulas isu pertukaran Abdul Khalid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.

Tambahnya, penyingkiran Anwar menyaksikan kebangkitan PAS yang dipimpin oleh Allahyarham Ustaz Fadhil Noor yang membelanya pada waktu itu.

"Saya kira, andai Abdul Khalid disingkir Anwar dari kerusi Menteri Besar sekarang dengan pelbagai tuduhan, sewajarnya PAS yang dipimpin oleh D Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bangkit membela Abdul Khalid yang dizalimi dan diaibkan melalui GERAK 2," ujarnya.