Nama Brabus memang gah sebagai pakar talaan aftermarket untuk kereta (terutamanyaMercedes-Benz) yang mencipta nama khususnya kerana hasil kerja mereka yang menjana kuasa kuda yang tinggi. Dan sekarang jenama ini akan meningkat lagi dengan pembukaan bilik pameran dan performance centre terbaru di Glenmarie, iaitu yang kedua selepas kemudahan yang sama di NAZA Automall, Petaling Jaya.

NAZA-Brabus Motors Sdn Bhd telah membelanjakan sebanyak RM6 juta untuk projek ini yang membabitkan bilik pameran bersaiz 5,000 kaki persegi. Pusat Prestasinya pula hanya 500 meter daripada bilik pameran, dengan keluasan 25,000 kaki persegi yang menempatkan 8 tempat servis. Tenaga kerja di sini adalah seramai 10 orang, 5 daripadanya adalah juruteknik terlatih Brabus.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Wira HJ SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, pengerusi eksekutif bersama Kumpulan NAZA, En. Christoph Dietze, pengurus jualan serantau (asia-pasifik) Brabus, dan En. David Hector Ratnaike, naib presiden, divisyen 4-roda Kumpulan NAZA.

Sebuah Brabus CLS Rocket 730 menjadi tumpuan khusus majlis ini; kereta ini adalah sebagai contoh kepada apa yang boleh dicapai oleh Brabus. CLS Rocket 730 ini adalah mendapat inspirasi daripada Mercedes-Benz CLS63 AMG; tetapi model Rocket ini menambah baik kuasa untuk melonjak ke 730hp dan 1,065Nm untuk tork. Semua ini datang daripada enjin 5.5-liter bi-turbo; prestasi yang boleh dijangka adalah 3.8 saat untuk pecutan 0-100km/j dan kelajuan maksima 350km/j.

Bilik pameran Brabus ini dibuka setiap hari dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang.