Mengikut Naza Kia Malaysia, iaitu pengedar rasmi kenderaan Kia di negara ini, jumlah model Rio (generasi terkini) yang sudah terjual di pasaran tempatan mengatasi 3,200 unit. Di peringkat global pula, nombor ini sudah melebihi 491,463 unit; menjadikan Rio model yang paling laris bagi Kia di serata dunia.

Sekarang, untuk memuaskan lagi kehendak pelanggan, Naza Kia Malaysia sudah memperkenalkan varian Rio 5-pintu terkini yang dijual pada harga RM79,080. Ini termasuk waranti lima tahun tanpa had perbatuan. Harga ini adalah sama dengan model yang terdahulu, termasuk harga GST dan insurans.

“Untuk 2015, kami mensasarkan untuk mengekalkan jumlah jualan sebanyak 10,000 unit, dan Rio 5-pintu baharu ini akan mempunyai tanggungjawab besar di dalam misi ini,” kata Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar, ketua pegawai operasi Naza Kia Malaysia.

Naza Kia turut mengumumkan bahawa hanya akan ada satu varian bagi model Rio, berbanding pilihan EX dan SX (varian yang lebih mewah) sebelum ini.

Antara perbezaan yang ada pada Rio 5-pintu terkini ini adalah kemasan gril hadapan yang lebih lebar dengan motif lebih garang untuk ruang lampu kabus. Reflektor belakang juga diberi penggayaan baharu termasuk aloi 17 inci yang digunakan.

Papan pemuka kelihatan lebih mewah dengan penggunaan kemasan hitam berkilat. Sistem audio (dengan enam pembesar suara) pula sekarang dikatakan lebih mudah untuk diguna. Di samping itu, sistem audio tersebut sekarang lengkap dengan 860MB terbina-dalam untuk penyimpanan fail MP3 serta buku telefon.

Kuasa pacuan disediakan enjin 1.4 dual CVVT yang menghasilkan 108hp dan tork sebanyak 137Nm. Output ini akan melalui kotak gear automatik 4-kelajuan sebelum pergi ke roda hadapan.

Untuk aspek keselamatan, Kia Ro 5-pintu ini dipasang dengan Vehicle System Management (VSM), Electronic Stability System (ESC) dan Hill-Start Assist. Beg udara hadapan, sisi dan beg udara tingkap adalah standard.

Ciri-ciri seperti sunroof, pendingin automatik dengan pengion udara serta pengelap cermin automatik juga adalah standard.