SEREMBAN: Selebriti dan usahawan terkenal Neelofa Mohd Noor bersama suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail hadir ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi sebutan semula kes pendakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Mei lalu.

Pasangan yang sebelum ini didakwa melanggar SOP semasa ke kedai karpet di Nilai 3, di sini, tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

Turut kelihatan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama pasukan peguam Neelofa.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.