KAJANG: Masalah untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa ada hubungan rapat dengan implementasi institusi tadbir urus dan pembangunan polisi awam.

Profesor Kehormat Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Mansor Mohd Noor berkata, faktor utama yang menyumbang ke arah situasi ini adalah wacana etno-agama yang dilaungkan oleh ahli politik di negara ini.

"Semakin rendah anda pergi semakin banyak parameter etno-agama digunakan. Ada masa semangat patriotisme sangat kuat, ada masa sangat teruk.

"Ini kerana ahli politik kita bermasalah, setiap kali kempen pilihan raya mereka sibuk berdebat tentang perbezaan dan bukan persamaan. Mereka jarang bahas konsep negara bangsa, lebih suka sapu bawah karpet dan bincang soal projek, siapa dapat tender dan sebagainya.

"Akhirnya kita tak berjaya selesaikan isu ini tapi bila nak dapat undi rakyat, mereka turun, cakap kita akan pertahan bangsa, agama dan budaya.

"Apabila sudah dapat jawatan, mereka jadi kapitalistik, materialistik, sesat sebagai pemimpin," katanya ketika muncul sebagai panel dalam program diskusi bertajuk Bangsa Malaysia Dari Perspektif Generasi Baharu anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), pada Jumaat.

Sementara itu, Prof Madya Chin Yee Mun dari Pusat Kajian Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berpendapat, untuk merealisasikan konsep negara bangsa, semua pihak perlu melihat kembali nilai dan aspek yang selama ini dipegang secara bersama oleh rakyat Malaysia, salah satunya adalah bahasa.

"Apa yang perlu diutamakan ialah bangsa Malaysia, kita bukan sahaja membentuk negara tetapi juga sebuah kumpulan etnik bernama Malaysia.

"Masalah kita ialah terlalu menekankan kepada etnik, yang membawa kepada persoalan berapa kawan Melayu saya ada, berapa ramai kawan Sikh.

"Apabila kesedaran sivik kita terlalu bersifat etnik, itu yang mewujudkan polarisasi yang ada sekarang," ujarnya.

Tambahnya, rakyat negara ini perlu sedar bahawa mereka terbabit secara langsung dalam pembinaan negara bangsa dan tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat, serta bertindak hanya dengan arahan pihak atasan.

Sebaliknya, pendekatan solidariti organik dari peringkat bawahan perlu diambil dengan cara memahami apakah itu bangsa Malaysia dan ke mana arah tujunya, sekali gus memastikan pembinaan negara bangsa yang lebih utuh.