Negara kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran kitar semula sebanyak 30 peratus menjelang 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Ampang itu lagi, kempen menggalakkan kitar semula perlu lebih diperluaskan lagi agar ia dapat menjadi tabiat kepada rakyat di negara ini.

“Pada masa ini, kita dah capai tahap 24 peratus kitar semula untuk plastik, sebab plastik itu ada industri tersendiri.

"Jadi kita perkenalkan program 3R On Wheels ini supaya orang ramai boleh meletak barang-barang kitar semula di tempat yang ditetapkan dan mereka redeem barang di kedai Petronas.

“Kalau kita nak ikut negara maju, sasaran ialah lebih 50 peratus. Kalau kesedaran lebih luas, insya-Allah lagi cepat capai.

"Jadi kita kena tingkatkan publisiti, kesedaran awam, forum juga di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan melalui ahli majlis, menerusi persatuan penduduk dan sebagainya,” katanya ketika menghadiri majlis pelancaran 3R On Wheels peringkat Parlimen Ampang, di sini hari ini.

Turut menghadiri majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan, dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

3R On Wheels telah dimulakan sejak 1 Disember lepas, di mana ia menggunakan kaedah roving di kawasan kawasan bersasar, terutamanya di sekolah, pejabat kerajaan dan swasta, serta kawasan tumpuan awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Menurut Mohd Zain, inisiatif itu dijalankan bagi menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pengasingan sisa pepejal, sekali gus meningkatkan aktiviti guna semula, kurangkan dan kitar semula.

Melalui kerjasama dengan Petronas, pengguna boleh menikmati ganjaran berganda dengan menebus di mana-mana kiosk Petronas melalui Kad Mesra sekiranya mereka membuang sisa yang boleh dikitar semula di kawasan yang ditetapkan.