KUALA LUMPUR: Hanya lima peratus populasi di Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak 24 Februari lalu.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kadar vaksinasi itu sepatutnya lebih tinggi, namun ia tidak selancar yang diharapkan kerana terlalu bergantung kepada proses penyediaan dan pengedaran daripada pengeluar.

“Sejak Februari lalu, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia, kita berjaya menyuntik lebih daripada lima peratus populasi.

“Ini tidak selancar yang kita harapkan, tetapi pergerakan kita sangat bergantung pada penyediaan dan pengiriman vaksin daripada pengeluar.

“Malaysia memerlukan 53 juta dos vaksin untuk memenuhi keperluan 70 peratus penduduknya. Setakat ini, kami hanya menerima kurang dari 3.2 juta dos atau 6 peratus daripada dos yang diperlukan.

“Dengan jangkaan kedatangan lebih banyak vaksin dalam beberapa bulan ke depan, kami berharap dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kami dari 100,000 kepada antara 200,000 hingga 300,000 sehari, sehinggalah Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19 sebelum menjelang akhir tahun ini," jelas Muhyiddin pada Isnin. 

Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Majlis Kesihatan Sedunia ke-74 pada Isnin yang mengumpulkan delegasi dari 194 negara anggota.

Perhimpunan bertemakan ‘Tamatkan Pandemik, cegah yang berikutnya: Bersama wujudkan dunia yang lebih sihat, selamat dan adil” itu juga akan menentukan keutamaan dan dasar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tahun depan.