Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar kerajaan merangka satu dasar ekonomi nasional yang baharu bagi menangani isu ketidaksamaan dalam masyarakat yang kini disifatkan sebagai "agak menggerunkan".

Dalam ucapannya merasmikan persidangan sayap-sayap UMNO, Timbalan Presiden UMNO itu mencadangkan supaya agenda bumiputera dijadikan sebagai agenda nasional, dan bukan agenda kaum.

"Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju.

"Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi.

"Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam ini.

Rancangan Malaysia Ke-11 dijadual akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mei tahun depan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menyebut bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) -- serampang dua mata pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat yang berakhir pada 1991 -- telah mencapai sebahagian daripada matlamatnya.

"Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa contoh daripada data rasmi kerajaan yang menunjukkan bagaimana jurang ekonomi antara kaum masih wujud, antaranya perbezaan pendapatan bulanan antara bumiputera dan bukan bumiputera sampailah kepada soal pemilikan hartanah yang rendah serta peluang pekerjaan yang sukar dan kadar pengangguran yang tinggi.

"Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita," katanya.

Muhyiddin UMNO
Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di PWTC pada Selasa - fotoBERNAMA


Menurut Muhyiddin, negara memerlukan satu model ekonomi yang dapat memastikan pertumbuhan ekonomi diagihkan dengan saksama serta tidak menyisihkan masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti rakyat.

Jelas beliau, ketidaksamaan dalam masyarakat ini bukan masalah kaum semata-mata tetapi juga masalah kelas yang sekiranya dibiar berterusan akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara secara keseluruhan.

Isu ketidaksamaan dalam masyarakat dijangka akan menguasai perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO minggu ini. Sekurang-kurangnya UMNO Wilayah Persekutuan dan Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini mengumumkan akan membawa isu-isu berkaitan ketidaksamaan itu pada perhimpunan ini.

Tiga pergerakan sayap UMNO -- Pemuda, Wanita dan Puteri -- akan bersidang pada Rabu sebelum Perhimpunan Agung UMNO berlangsung bermula Khamis sehingga Sabtu.