SHAH ALAM: Malaysia mencatatkan kerugian mencecah RM4.25 bilion setiap tahun akibat aktiviti pencerobohan nelayan asing.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman berkata, dianggarkan kerugian bagi hasil laut dalam adalah sebanyak RM1.55 bilion manakala laut pantai Zon C berjumlah RM2.7 bilion.

“Langkah Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) dalam menangani masalah pencerobohan nelayan asing adalah dengan meminda Akta Perikanan 1985 (2019) iaitu menaikkan kadar denda daripada RM1 juta kepada RM6 juta untuk nakhoda manakala RM100,000 dinaikkan kepada RM600,000 untuk setiap kru bagi vesel penangkapan ikan.

“Selain itu, penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) serta kod QR dilaksanakan bagi memudahkan pengenalan vesel penangkapan ikan tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, DoF turut melaksanakan penguatkuasaan bersama pelbagai agensi berkaitan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Op Naga juga diaktifkan pada Mei 2019 di bawah Jawatankuasa Penguatkuasaan Bersepadu Pasukan Petugas Khas yang diketuai maritim.

“DoF mencadangkan agar kerajaan menggunakan peruntukan perundangan lain yang boleh disabitkan dan tidak terhad kepada Akta Perikanan lebih menjurus kepada vesel dan aktiviti penangkapan ikan.

“Ini kerana pencerobohan di perairan dan sempadan negara merupakan isu kedaulatan negara yang perlu ditangani oleh semua pihak,” ujarnya.

Media pada Rabu lalu mendedahkan sejak tahun 2006, Maritim Malaysia berjaya menahan 1,600 bot nelayan asing yang dikesan menceroboh dan menangkap ikan di dalam kawasan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som mendedahkan, nelayan asing kini semakin berani dan agresif bagi memastikan mereka tidak ditahan serta hasil tangkapan tidak dirampas.

Antara tindakan nelayan asing ialah menyimbah minyak di dek bot untuk membuatkan anggota operasi jatuh, membaling molotov cocktail dan besi yang menyebabkan operasi tangkapan mengambil masa lebih 40 minit serta memiliki kelengkapan alat komunikasi di darat untuk menyalurkan maklumat kepada mereka. -Sinar Harian