Negeri Sembilan arah bomba periksa sekolah tahfiz

Bernama
September 18, 2017 23:36 MYT
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sekiranya ada pusat tahfiz yang tidak menepati aspek keselamatan yang ditetapkan terutama dalam spesifikasi bangunan seperti disyaratkan JBP, akan diarahkan tutup serta merta.
Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) untuk melaksanakan pemeriksaan keselamatan di semua sekolah tahfiz dalam tempoh tiga bulan.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sekiranya ada pusat tahfiz yang tidak menepati aspek keselamatan yang ditetapkan terutama dalam spesifikasi bangunan seperti disyaratkan JBP, akan diarahkan tutup serta merta.
"Spesifikasi oleh bomba mestilah dipatuhi oleh pusat tahfiz dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dari segi keselamatan dan jika terdapat bangunan yang tidak dipatuhi, kita akan tutup dan jika berdegil kita akan heret ke mahkamah.
"Hal ini ditegaskan oleh saya kerana ini berkenaan nyawa anak-anak yang tidak berdosa dan kita akan mula memeriksa dalam tempoh tiga bulan semua pusat-pusat tahfiz bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa," katanya kepada pemberita di Program Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 di sini, pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata kerajaan menyasarkan kesemua 16 buah sekolah agama bantuan kerajaan akan menawarkan subjek hafazan sebagai mata pelajaran wajib menjelang tahun 2025.
"Buat masa ini hanya tiga sekolah agama bantuan kerajaan yang ada aliran tahfiz.
"Saya menyeru supaya mata pelajaran hafazan tidak diabaikan kerana ini demi masa depan anak-anak kita. Dengan dasar yang kita bincangkan, ia dapat memberi peluang kepada pelajar yang berminat belajar tahfiz untuk mengikutinya di sekolah agama bantuan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#bomba #pelajar #sekolah #sekolah tahfiz