SEREMBAN: Negeri Sembilan bersedia untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat susulan trend penurunan kes positif COVID-19 harian dan kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bagaimanapun tempoh spesifik bagi peralihan ke fasa seterusnya itu belum ditentukan berikutan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang sepatutnya berlangsung pada minggu lepas dan minggu ini tidak dapat diadakan.

Beliau berkata negeri ini hampir memenuhi kriteria ditetapkan oleh MKN untuk beralih ke Fasa Dua iaitu termasuk mencapai rekod pemberian vaksin kepada 695,626 individu atau 85.4 peratus suntikan dos pertama manakala 539,975 (66.3 peratus) telah melengkapkan dos suntikan vaksin.

"Bilangan kes di ICU menampakkan perubahan baik dengan penggunaan katil hanya 77 peratus secara keseluruhan setakat ini, apa yang lebih menggembirakan, dua hari lepas, tiada kes COVID-19 direkodkan bagi kategori tiga, empat dan lima.

"Ini menunjukkan vaksinasi memberikan satu keadaan lebih baik kepada rakyat di negeri ini, namun kita harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Aminuddin turut meminta Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Pusat memberikan lebih banyak bekalan vaksin kepada negeri ini kerana pihaknya hanya menerima 20,000 hingga 21,000 vaksin dalam tempoh dua minggu ini berbanding 25,000 dos vaksin sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini berlangsung seperti dijadualkan iaitu pada 3 hingga 8 Sept ini dengan SOP lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19.

"Ketika ini Unit Dewan sedang mendapatkan perincian SOP daripada Parlimen bagi memastikan keselamatan semua ahli DUN yang hadir," katanya menambah satu rang undang-undang (RUU) baharu, membabitkan RUU Perbadanan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dijangka diluluskan pada persidangan kali ini.

Persidangan empat hari itu diadakan secara bersemuka di Wisma Negeri di sini dan kali terakhir DUN itu bersidang ialah pada 3 Dis 2020.

-- BERNAMA