KEMAMAN: Padah menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan parang, tiga nelayan Vietnam cedera terkena tembakan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.25 pagi Selasa itu, seorang anggota Maritim Malaysia nyaris maut ditetak ketika menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, kapal maritim KM Satria sedang melakukan rondaan dan terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara. 

Katanya menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua bot tersebut cuba meloloskan diri dan pihaknya mengambil masa hampir tiga jam untuk menahan mereka.

"Bagaimanapun ketika menghampiri bot tersebut, tiga nelayan yang bersenjatakan parang, besi pemberat pukat, tukul besi dan besi penyodok tanah, bertindak menyerang anggota kita menyebabkan anggota melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara.

"Situasi tegang ketika itu membuatkan anggota tiada pilihan lain lalu terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot bagi menghentikan tindakan ganas nelayan asing tersebut serta demi untuk mempertahankan diri.

"Serpihan tembakan kemudian mencederakan dua awak-awak dan seorang tekong," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata seramai 19  nelayan termasuk seorang tekong yang semuanya berumur 16 hingga 60 tahun itu telah berjaya ditahan sekitar jam 8.55 pagi.

Susulan penahanan itu juga pihaknya berjaya merampas sebuah bot dan ikan segar seberat 500 kilogram yang secara keseluruhan dianggar bernilai RM1.5 juta ringgit.

Jelasnya tiga nelayan yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) Kuantan, untuk rawatan lanjut.

Kata beliau lagi, bot yang ditahan serta awak-awak dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman kira-kira jam 12.00 tengah hari Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/1963.

Tambah beliau, tiga nelayan asing terbabit turut akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.