KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan taktik terbaru nelayan asing Vietnam yang menjadikan sempadan perairan Malaysia dan Indonesia sebagai lokasi menangkap ikan secara haram.

Ia berikutan penahanan sebuah bot nelayan Vietnam yang dikendali seorang tekong bersama 20 awak-awak pada kedudukan 108 batu nautika tenggara dari Kuala Kemaman, Terengganu pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot terbabit ditahan jam 5.30 petang ketika menangkap ikan menggunakan pukat ganding bersama tiga bot nelayan senegara, dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman.

Menurut Rashidilhadi, sebuah bot berjaya ditahan manakala tiga yang lain berjaya melarikan diri ke perairan negara Indonesia.

Jelasnya, taktik nelayan Vietnam mencuri hasil laut negara adalah dengan beroperasi pada kedudukan 5 hingga 10 batu nautika berhampiran perairan Indonesia.

"Kita lihat banyak kedatangan bot-bot penguat kuasa Vietnam, khususnya Vietnam Coast Guard, yang berada di sempadan antara Malaysia dan Vietnam dan menghalang bot nelayan Vietnam masuk ke perairan kita.

"Ini kita percaya menyebabkan banyak bot Vietnam turun lebih ke bawah bagi mengelakkan penguat kuasa daripada kedua-dua negara," katanya.

Kesemua nelayan terbabit yang berusia antara 18 dan 54 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala bot berkenaan tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan negara.

Rashidilhadi berkata, APMM turut merampas bot bersama kira-kira 1,000 liter diesel, pelbagai hasil laut serta peralatan menangkap ikan berjumlah RM1.6 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.