Kos keseluruhan bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dianggarkan berjumlah RM21.6 bilion adalah jumlah anggaran dan berkemungkinan besar akan berubah apabila ia ditambah baik dari semasa ke semasa.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata projek tersebut akan melibatkan teknologi berbeza sekaligus tiada syarikat khusus akan menjadi penerima manfaat daripada NFCP.

“SKMM juga ingin menekankan bahawa NFCP terdiri daripada pelbagai projek infrastruktur, termasuk projek-projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri. Projek ini juga akan mempertimbangkan penggunaan teknologi-teknologi yang berbeza.

“Oleh itu, tidak ada satu syarikat khusus yang menyediakan suatu teknologi khusus boleh menjadi penerima manfaat terbesar daripada NFCP. Pihak Kerajaan mahupun MCMC tidak akan menetapkan penyedia teknologi kerana perkara ini akan diputuskan oleh pihak pemegang lesen.

“Justeru itu, adalah tidak tepat untuk menamakan OPCOM sebagai penerima manfaat terbesar NFCP,” katanya kepada media di ibu pejabat SKMM di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan taklimat dan soal jawab bersama wakil media tempatan dan antarabangsa berhubung pelaksanaan NFCP yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 September ini.

Pada Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan berkenaan inisiatif NFCP, bermula dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion.

Peruntukan awal itu bertujuan untuk membiayai projek-projek infrastruktur terpilih pada 2019 untuk menyokong sasaran-sasaran NFCP, termasuk memperluaskan liputan mudah alih dan menyediakan kesalinghubungan gentian optik ke premis-premis.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa NFCP merupakan sebuah projek mega.

Tegasnya, ia adalah sebuah pelan yang penting dan amat diperlukan yang menggariskan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan ketersediaan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk negara.

“Pelaksanaan NFCP akan berpandukan kepada dua turus utama. Pertama, ia akan membabitkan beberapa siri projek-projek infrastruktur yang akan dibiayai sama ada melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun secara komersial oleh para pemegang lesen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan.

“Projek-projek infrastruktur ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ke seluruh negara dan akan mempergunakan pelbagai teknologi yang antara lain merangkumi gentian optik, teknologi tanpa wayar dan satelit,” katanya.

Malah tegasnya, keutamaan MCMC adalah untuk memastikan pendekatan yang kos efektif seperti pengoptimuman penggunaan infrastruktur digital yang sedia ada, mengelak duplikasi dan berpandukan kepada polisi-polisi yang memberangsangkan.

Selain itu, NFCP juga melibatkan penetapan dasar-dasar merangkumi dasar-dasar yang mampu menangani isu-isu yang menghalang pelaksanaan infrastruktur dengan cepat dan pada kos yang efektif di peringkat negeri, mengoptimumkan penggunaan spektrum bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar mudah alih, meningkatkan persaingan di dalam industri, mengalakkan perkongsian infrastruktur serta dasar-dasar berkaitan yang lain.