Nga Kor Ming letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Irwan Muhammad Zain
Julai 13, 2020 07:09 MYT
Peletakan jawatan Nga Kor Ming dibuat sebelum usul menggugurkannya dibentangkan di Dewan Rakyat sebaik sidang bermula selepas berhenti rehat. - Gambar fail
Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan serta-merta.
Peletakan jawatan Kor Ming itu dibuat sebelum usul menggugurkannya dibentangkan di Dewan Rakyat sebaik sidang bermula selepas berhenti rehat.
Kor Ming menjelaskan, keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti terhadap Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang telah digugurkan dari jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
"Dengan bersolidariti penuh bersama dengan Tan Sri Mohamad Arif dan juga menyatakan prinsip saya hanya akan berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat, maka dengan ini saya mengumumkan, saya meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan serta-merta," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.
Kerusi Speaker Dewan Rakyat dikosongkan selepas usul daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menerima sokongan 111 Ahli Parlimen.
Keputusan itu diperoleh melalui undian belah bahagi yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.
Seramai 109 Ahli Parlimen menentang usul berkenaan dan seorang anggota, Maximus Ongkili (PBS – Kota Marudu) tidak hadir sesi persidangan hari ini.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun telah dinamakan sebagai Yang Dipertua baharu.
#ahli Parlimen #Azhar Azizan Harun #Dewan Rakyat #letak jawatan #Mohamad Ariff Md Yusof #Nga Kor Ming #Parlimen #solidariti #Teluk Intan #Timbalan Yang Di-Pertua