KUANTAN: Badan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarelawan yang berhasrat membantu mangsa banjir di Pahang diminta untuk mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri mengalu-alukan mereka yang berhasrat membantu mangsa banjir dan pendaftaran itu bagi membantu PKOB membuat penyelarasan sukarelawan supaya misi bantuan berjalan lancar.

"Pendaftaran sukarelawan juga dapat mengelak berlakunya pembaziran tenaga kerana pernah berlaku, terdapat dua atau tiga kumpulan sukarelawan berkumpul membersihkan sebuah surau yang agak merugikan sumber tenaga," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir PETRONAS kepada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur M Ahmad Shazly Ramli di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman.

Selain itu, Wan Rosdy berkata persiapan untuk menghadapi bencana banjir menerusi peruntukan sebanyak RM47 juta yang diluluskan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir juga telah dilaksanakan mengambil kira cadangan pihak berkaitan termasuk pengerusi PKOB.

Cadangan itu adalah berdasarkan pengalaman berhadapan banjir besar awal tahun ini, ketika Wan Rosdy dan Sallehuddin turun padang bertemu semua pengerusi PKOB bagi mendapatkan maklum balas untuk penambahbaikan aspek pengurusan banjir.

"Sebagai contoh, menerusi peruntukan ini, kita telah menyiapkan tempat pendaratan helikopter di beberapa lokasi kerap terputus laluan akibat banjir termasuk di perkampungan Orang Asli, supaya bekalan makanan dan bantuan lain dapat dihantar kepada mereka.

"Kita juga telah membina pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di Maran, Pekan dan Lipis selain turut membeli bot penyelamat yang ditempatkan di pejabat penghulu serta telah melaksanakan kursus khas pengurusan bencana," katanya.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Wan Rosdy berterima kasih kepada PETRONAS yang menyerahkan peralatan menyelamat dan perlindungan kepada mangsa banjir, antaranya dua unit bot dilengkapi enjin dan kemudahan roda mudah alih, khemah, baju hujan serta jaket keselamatan.

M Ahmad Shazly pula berkata bantuan itu adalah sebahagian daripada komitmen PETRONAS membantu mangsa banjir menerusi peruntukan RM25 juta yang diumumkan pada Disember tahun lepas, melibatkan penyaluran sumbangan kepada semua negeri.

PETRONAS juga menurut beliau telah mengajurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) kepada penduduk di Mukim Ganchong di Pekan, dekat sini dan Kepulauan Tumpat, Kelantan antara Januari hingga Julai lepas bagi membantu mereka membuat persiapan lebih sistematik dalam menghadapi banjir.

-- BERNAMA