PUTRAJAYA: Kesedaran rendah mengenai jangkitan HIV dengan hanya 22.6 peratus rakyat mempunyai pengetahuan yang mencukupi adalah membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020 mendapati tiga daripada empat orang dewasa telah menunjukkan stigma yang tinggi terhadap penghidap HIV.

"Ini sekali gus boleh menjejaskan kejayaan pencegahan dan rawatan HIV dalam kalangan PLHIV (Orang Yang Hidup Dengan HIV," katanya selepas melancarkan laporan tersebut di sini semalam.

Laporan NHMS 2020 itu adalah tinjauan kali pertama yang memberi fokus kepada tema penyakit berjangkit.

Pengumpulan data telah dijalankan bermula Ogos hingga Oktober 2020 melibatkan jumlah keseluruhan 5,957 orang penduduk yang berumur satu tahun dan ke atas dari 1,876 buah tempat kediaman dipilih secara rawak di seluruh negara.

Khairy berkata tinjauan ini telah dijalankan sebelum negara dilanda gelombang ketiga COVID-19.

Sementara itu, sehingga Okt 2020 tinjauan itu mendapati 0.6 peratus daripada populasi penduduk atau 200,000 penduduk telah dijangkiti COVID-19.

Katanya, tinjauan itu turut mendapati empat daripada lima individu yang dijangkiti atau anggaran 150,000 individu tidak menyedari mereka telah dijangkiti COVID-19.

Khairy berkata kesedaran masyarakat terhadap kerintangan penggunaan antibiotik dalam kalangan orang dewasa masih lagi di tahap rendah yang mana 75 peratus daripada mereka didapati tidak pernah mendengar mengenai perkara itu.

Beliau berkata 25 peratus rakyat dilaporkan telah mengambil antibiotik pada 2019 dan 34.4 peratus pesakit tidak menghabiskan dos antibiotik ditetapkan setelah pulih.

Bagi penyakit Tuberkulosis (TB), Khairy berkata laporan itu mendapati 600,000 orang dewasa mengalami gejala seakan TB pada 2019.

Katanya, hanya 57 peratus daripada mereka telah mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan berlesen manakala 25 peratus secara rawatan kendiri.

Beliau berkata majoriti rakyat tidak mendapatkan rawatan iaitu 78 peratus percaya bahawa gejala dialami tidak berkaitan dengan TB yang sebenarnya memerlukan mereka membuat saringan bagi pengesahan lanjut.

Khairy berkata ketika negara dalam usaha membasmi penyakit hepatitis menjelang 2030, laporan mendapati hampir 400,000 orang dewasa masih dijangkiti Hepatitis B dan 350,000 orang dewasa menghidapi jangkitan kronik.

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa ini sedang mempertimbangkan untuk menjalankan saringan secara universal bagi penyakit Hepatitis B dalam kalangan wanita hamil yang menerima rawatan di fasiliti awam.

-- BERNAMA