KUALA LUMPUR : Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor kini beralih tugas selaku juruiring rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut sumber Pejabat Perdana Menteri (PMO), Nik Ezanee, 43, telah memulakan tugas rasminya bermula hari ini

“Beliau telah diarahkan untuk lapor diri bermula hari ini di Pejabat Perdana Menteri,” menurut sumber berkenaan ketika dihubungi.

Sebelum menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Nik Ezanee pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Sementara itu, beliau yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan pelantikan tersebut.

Mengulas mengenai penggantinya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, beliau berkata, setakat ini perkara itu masih belum lagi diputuskan.

Nik Ezanee merupakan pegawai kanan polis yang sebelum ini lantang menyuarakan isu rasuah terutamanya membabitkan anggotanya menerusi temu bual di beberapa platform media.