Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini menyatakan sokongan ke atas saranan Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed Mohamed bagi menetapkan had umur 40 untuk Ketua Pemuda UMNO.

Beliau berkata kadang-kala, umur hanyalah sekadar angka dan pengalaman tidak boleh dipandang rendah, namun hakikat bahawa generasi muda lebih tertarik dan lebih terkesan apabila dipimpin oleh mereka sendiri.

“Bagi KEADILAN, kami telah menetapkan kesemua anggota Angkatan Muda KEADILAN adalah berumur sehingga 35 tahun sahaja. Ini juga sama dengan had umur Pemuda Sosialis DAP.

“Dalam pada masa yang sama, KEADILAN dan Pakatan Rakyat tidak pernah mengenepikan anak muda untuk diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya mahupun jawatan dalam parti.

“Ia merupakan satu langkah yang bagus apabila akhirnya UMNO menyedari kepentingan anak muda di Malaysia,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Beliau turut berpendapat bahawa 40 tahun adalah agak tua.

“Majlis Belia Malaysia pernah meminta umur belia diturunkan daripada 40 tahun, sementara definisi PBB meletakkan umur belia pada 15 ke 24 tahun.

“Bagi sesiapa pun anak muda di dunia ini, perbezaan beberapa tahun boleh menjadi penentu dari segi nilai, matlamat dan pandangan.

“Sudah pasti agak sukar untuk katakan, seorang yang berusia lingkungan 38 ke 40 tahun benar-benar memahami pemikiran mereka yang berumur lingkungan 20 ke 25tahun,’ katanya.

Beliau menegaskan bahawa ini adalah sesuatu yang pemimpin kita perlu mengambil kira.

“Sebelum ini, sudah terlalu banyak organisasi untuk anak muda dipimpin oleh mereka yang lebih tua.

“Selain itu, terdapat banyak dakwaan pengurusan yang salah dan berpuak-puak dalam organisasi ini.

“Hampir tiada sebarang tindakan yang telah dilakukan- sekurang-kurangnya berdasarkan apa yang telah dikatakan awam- untuk memperbaiki keadaan ini.

“Walaupun baru-baru ini Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dilihat sering terlibat dengan program-program yang berkait dengan sukan, harus diingatkan jawatan beliau adalah “Menteri Belia dan Sukan.”

“Oleh itu, beliau hendaklah juga berusaha memperbaiki dan membawa perubahan dalam separuh lagi portfolionya.

Sebelum ini, Nur Jazlan telah berkata had umur ketua Pemuda Umno harus ditetapkan pada 40 tahun, bagi memastikan peralihan kuasa pimpinan yang berterusan di kalangan generasi muda dalam parti.

Beliau berkata, demi kelangsungan parti, ia memerlukan 'suntikan baharu' untuk meremajakan parti serta melahirkan pemimpin pelapis.