KUALA LUMPUR : Nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan perlu dilihat dan dikaji semula.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Penutup BN Youth Job Fair 2022 di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah kadar kebankrapan terutamanya membabitkan golongan belia agak meruncing dan membimbangkan ketika ini.

Malah, jelasnya lagi, jumlah peningkatan itu semakin ketara sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

"Saya juga bimbang dengan jumlah yang ada ketika ini dan bimbang jumlah itu akan melonjak naik pada masa akan datang.

"Saya akan bincang dengan Menteri Undang-Undang untuk lihat semula akta dan saya akan jumpa dengan Gabenor Bank Negara (BNM) untuk lihat dari segi undang-undang untuk kita tangguh dan sebagainya," jelasnya.

Sebelum ini pada 2020 Dewan Negara pernah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000, sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.