KUALA LUMPUR: Penubuhan dua jawatankuasa khas seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bukanlah perkara baharu dalam politik negara.

Namun Felo Penyelidik Society For Empowerment and Economic Development of Sabah (SEEDS), Rahezzal Shah Abdul Karim berpendapat, isu sebenar adalah untuk memastikan jawatankuasa khas tersebut berfungsi seperti mana yang dimahukan.

"Cadangan seperti Majlis Pemulihan Negara (MPN) ini pernah juga berlaku sebelum ini. Kita ada banyak majlis-majlis yang ditubuhkan dan katanya inklusif tetapi realitinya kita tahu komposisi dan cara mereka beroperasi tidak memberikan kuasa eksekutif yang membolehkan mengubah dasar kerajaan.

"Apa pun keputusan tetap dibuat oleh Kabinet dan sama seperti MPN, ia seakan-akan badan penasihat tetapi tiada kuasa.

"Saya tahu ramai mendesak untuk ditubuhkan satu majlis yang mempunyai pendekatan inklusif dan MPN boleh menjadi platform bagi merealisasikan perkara.

"Penghujungnya, kita kena lihat adakah mereka boleh buat keputusan, itu persoalannya," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, pada Isnin.

Mengambil contoh negara seperti New Zealand, jawatankuasa khas yang ditubuhkan dilihat agenda yang menggerakkan Parlimen, malah berjaya meletakkan tanggungjawab penuh di bawah pelaksana tanpa perlu berselindung di sebalik mana-mana kementerian atau jabatan.

"Di New Zealand, ada lebih kurang 17 jawatankuasa khas dan kita lihat, inilah nadi yang menggerakkan Parlimen.

"Tetapi di Malaysia, kita nampak peranan Parlimen hanya di Dewan Rakyat, sesi pembentangan dan persidangan. Kita tidak perasan yang hidupkan Parlimen adalah jawatankuasa khas ini, itu yang diamalkan negara lain bukan sahaja New Zealand tetapi juga Australia, United Kingdom dan banyak lagi.

"Saya rasa patut kalau difokuskan kepada jawatankuasa khas ini, panggil semua pakar, bincangkan semua isu berbangkit dan siarkannya secara langsung supaya rakyat tahu.

Ismail Sabri sebelum ini menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 ketika menyampaikan ucapan khas pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, minggu lalu.

BACA: PM tawar pembangkang anggotai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19