Nilai Rt turun kepada 1.03, Sarawak tertinggi

Astro Awani
Ogos 22, 2021 23:15 MYT
Sarawak dan Perlis mencatatkan kadar Rt tertinggi, masing-masing dengan 1.29 dan 1.24.
KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di Malaysia menunjukkan tren mendatar dan menurun sejak 10 Ogos lepas.
Pada Ahad, nilai Rt kebangsaan mencatat 1.03, turun 0.01 berbanding hari sebelumnya.
Bagaimanapun, 11 negeri masih merekodkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan dengan Sarawak tertinggi pada 1.29.
Ini diikuti Perlis (1.24), Sabah (1.21), Pulau Pinang (1.15), Kelantan (1.10), Kedah (1.09), Melaka (1.08), Perak (1.07), Johor (1.06) dan Terengganu (1.05).
Pahang mencatatkan Rt 1.03 dan negeri/wilayah yang mencatat kadar lebih rendah dari purata kebangsaan ialah Selangor (0.97), Kuala Lumpur (0.89), Negeri Sembilan (0.89) dan Putrajaya (0.82).
Labuan satu-satunya wilayah yang mencatatkan hanya empat kes COVID-19 baharu.
Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi ialah 1.21 pada 23 Mei.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
#COVID-19 #kadar kebolehjangkitan #kes positif #R-Naught #purata kebangsaan