KUALA LUMPUR: Tindakan normalisasi hubungan negara arab dengan Israel adalah tidak sihat, serta menunjukkan kesatuan negara Islam yang rapuh dalam mengecam kezaliman rejim zionis.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim berkata kesatuan ialah kata kunci untuk memastikan tekanan berterusan kepada Israel.

“Kita telah melihat sebahagian daripada yang telah Malaysia tunjukkan kita tidak pernah ada hubungan diplomatik dengan negara haram israel dan tidak mengiktiraf kewujudan negara haram itu. Kita juga konsisten dalam perkara itu sehingga hari ini. Kata kunci ialah kesatuan. Suara mesti satu, senada dan konsisten membela Palestin.

Kesatuan negara-negara pro-Palestin pastikan Israel tidak rasa diiktiraf - Dewan Pemuda PAS

“Contoh kalau ini ambil daripada negara-negara arab, negara-negara yang bukan majoriti orang islam sekalipun, sepatutnya suara-suara ini disatukan dan mesti menjadi titik kepada persamaan untuk kita duduk semeja dan berunding dan memastikan israel tidak merasakan dirinya satu kewujudan yang disanjungi atau diiktiraf,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.

Abdul Malik mengimbau ketegasan Perdana Menteri yang kini merupakan Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan yang menyatakan bantahan secara terbuka dan bersemuka dengan pemimpinan Israel pada tahun 2009.

“Contoh nama Erdogan, Presiden Turkiye yang telah berjaya melonjakkan nama beliau. Beliau beri amaran dalam satu forum ekonomi kepada (Presiden Israel) Shimon Peres. Ia telah menggemparkan dunia walaupun dunia menyatakan, apalah sangat kata dua yang diberikan oleh Erdogan kepada Peres.

"Dia besar kepala kerana dia beranggapan masih ada negara yang menyokong kebiadaban yang dibuat,” jelasnya.