Notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan berkuatkuasa pada 11 April 2016 akan datang akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari ini juga.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar memaklumkan, notis terbabit telah difaksimili pagi tadi dan akan dihantar menggunakan perkhidmatan kurier hari ini juga.

"Pagi ini saya telah menghantar notis pembubaran DUN Sarawak melalui faks dan salinan asal melalui Pos Laju (kurier).

"Selepas ini keputusan untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi terserah kepada SPR sebagai tindakan lanjut," katanya.

Notis itu telah ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, pada Khamis.

SPR mempunyai kuasa untuk mengumumkan tarikh bagi hari penamaan calon dan tarikh bagi mengundi disamping menguruskan hal-hal berkaitan mengendalikan pilihan raya.

Pada Khamis, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam satu sidang media telah mengumumkan pembubaran DUN Sarawak yang berkuatkuasa pada 11 April 2016.