DAP malam tadi mempersoal peruntukan undang-undang yang diguna Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam memutuskan parti itu perlu membuat pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata oleh itu, DAP tidak akan mematuhi arahan ROS yang dikeluarkan melalui notis berkaitan pemilihan semula CEC selagi tuntutan itu tidak dijelaskan sepenuhnya.

Beliau berkata DAP akan hanya menerima arahan itu jika ROS memberi alasan mengapa ia tidak berpuas hati dengan penjelasan parti berkenaan berhubung perjalanan CEC pada 15 Dis lepas.

"DAP juga (akan terima arahan) jika ROS jelaskan di bawah peruntukan undang-undang mana arahan pemilihan semula CEC diberikan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini.

Semalam, ROS menghantar notis di bawah Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966 kepada DAP bagi memaklumkan ketidakpuasannya dengan penjelasan DAP berhubung pemilihan CEC parti itu.

ROS juga dilapor menyiasat beberapa aduan yang mendakwa wujud penipuan dalam pemilihan CEC DAP pada Disember lepas.

Isu itu berbangkit apabila pengiraan semula undi menunjukkan setiausaha politik Lim, Zairil Khir Johari, yang pada mulanya menerima 305 undi, meraih 803 undi.

Sementara itu, Setiausaha Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan menghantar surat berhubung pendirian parti berkenaan kepada ROS Khamis dan akan menunggu maklum balas seterusnya sebelum mengambil tindakan lanjut.