MELAKA: "Jadilah guru insani yang berjiwa mulia, berhati ikhlas, sanggup berjuang mendidik anak-anak bangsa demi pembangunan negara kita dan generasi akan datang," nasihat Tokoh Guru Kebangsaan 2023 Datuk Nuinda Alias, 61.

Bekas Pengetua Cemerlang Gred C itu berkata anugerah yang diterima itu diharap dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada rakan guru lain yang masih dalam perkhidmatan dan perjuangan sebagai pendidik.

Anak kelahiran Sabah itu berkata anugerah berkenaan adalah pengiktrafan tertinggi diterimanya sepanjang bergelar guru dan pemimpin sekolah selepas meninggalkan dunia pendidikan pada 6 Feb 2022.

"Saya tidak terfikir dinobat sebagai Tokoh Guru Kebangsaan kerana titik permulaan saya sebagai seorang guru ialah ingin membantu pelajar saya mencapai sesuatu kejayaan.

"Keikhlasan saya mendidik anak bangsa, saya serahkan kembali kepada Allah SWT dan akhirnya hari ini saya mendapat anugerah ini... pengiktirafan ini juga antaranya disebabkan doa guru dan anak murid saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Nuinda menerima wang tunai dan loket emas bernilai keseluruhan RM50,000, dua tiket penerbangan ke luar negara, plak iringan dan sijil penghargaan.

Ibu kepada empat anak itu telah menerima pelbagai anugerah sepanjang perkhidmatannya antaranya termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 1999, 2008 dan 2015, Anugerah Pemimpin Kokurikulum Negeri Sabah (2017), Anugerah Pengetua Contoh Negeri Sabah (2020) dan Anugerah Tokoh Guru Negeri Sabah (2022).

Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti kokurikulum di peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa anak muridnya menyertai Kejohanan Skuasy Terbuka Qatar 2019 dan menjadi ketua kontinjen bagi Kejohanan Piala Dunia Tarian dalam tempoh 2011 hingga 2016.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 Datuk Mazlan Mohamad, 69, berkata beliau memilih bidang pendidikan bukan untuk mendapat sebarang anugerah tetapi untuk menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa.

"Saya meletakkan diri saya selain kerja rutin, mempunyai matlamat dalam perkhidmatan pendidikan iaitu pendidikan itu mesti dikuasai dan diperolehi oleh semua.

"Kita sebagai seorang guru, mendidik adalah tanggungjawab kita... memastikan supaya semua anak murid kita, semua rakyat Malaysia mendapat pendidikan sewajarnya. Itulah yang pegangan hidup saya," katanya yang telah berkhidmat selama 34 tahun sebagai guru sebelum bersara pada 2016.

Anak kelahiran Raub, Pahang itu berkata beliau sangat terharu dan bangga dengan pengiktirafan yang diterima yang akan menjadi pendorong untuknya memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Berpegang teguh pada slogan 'education for all, no child left behind', (pendidikan untuk semua, tiada kanak-kanak ketinggalan) beliau mengasaskan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kuala Lumpur bagi memastikan anak gelandangan mendapat pendidikan sewajarnya.

Mazlan turut menerima wang tunai dan loket emas bernilai keseluruhan RM50,000, dua tiket penerbangan ke luar negara, plak iringan dan sijil penghargaan.

-- BERNAMA