“Anda tidak seharusnya terperangkap dalam masa lalu tetapi belajar dari kesilapan lalu. Reformasilah satu-satunya cara untuk kita bergerak ke hadapan. Sama seperti Radiohead. Mereka berkembang dan mencabar diri mereka sendiri.”

Begitulah bagaimana Radiohead, sebuah kumpulan rock British memberi inspirasi kepada calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, serta menambah ‘Paranoid Android’ merupakan lagu kegemaran beliau.

Sebagai ahli Parlimen di Lembah Pantai, Nurul Izzah sedar akan masalah di kawasan tersebut iaitu kekurangan tempat meletak kereta bagi penduduk.

“Memang susah untuk mereka mencari tempat meletak kereta. Ada yang terpaksa meletak kereta di blok lain, janji ada tempat. Ini boleh membawa kepada kemungkinan menjadi mangsa jenayah.

“Terutama buat wanita yang bekerja hingga lewat malam, situasi ini amat bahaya buat mereka. Satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini adalah dengan membina tempat letak kereta bertingkat,” kata Nurul Izzah.

Menurut Nurul Izzah, jika Pakatan Rakyat diberi mandat untuk menerajui negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-13, beliau akan memastikan penduduk Lembah Pantai tidak perlu risau lagi akan masalah meletak kereta.

Selain itu, Nurul Izzah berkata beliau percaya wanita perlu digalakkan untuk kembali bekerja.

“Wanita adalah golongan yang amat penting di Malaysia dan kita seharusnya mula mengambil berat akan keperluan mereka. Apa yang dapat dilihat, isu utama wanita adalah waktu bekerja yang tidak fleksibel serta pusat penjagaan kanak-kanak.

“Terutama sekali buat ibu-ibu yang bekerja, dimana seharusnya mereka tinggalkan anak mereka semasa bekerja? Ada sesetengah terpaksa meninggalkan anak-anak di pusat penjagaan yang tidak berdaftar. Situasi ini menyebabkan mereka terpaksa menghadapi bahaya dan apa-apa kemungkinan yang boleh terjadi,” tambah beliau.

Nurul Izzah Anwar merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai di bawah naungan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau menang di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil.

Walaubagaimanapun, bagi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang, beliau bakal berdepan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bagi merebut kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Beliau pernah bekerja dengan beberapa agensi dan institusi bagi memperjuang hak asasi manusia termasuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Women Leaders International Forum (WLIF) Friedrich-Ebert Stifung (FES).

Nurul Izzah telah mendirikan rumahtangga dengan Raja Ahmad Shahrir dan mereka telah dikurniakan dua cahayamata, Raja Nur Safiyah dan Raja Harith.

Terdapat kira-kira 72,396 pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 ini di Lembah Pantai dengan 52% merupakan rakyat berbangsa Melayu, diikuti dengan bangsa Cina pada 26% dan India pada 21%.

nurul izzah