KUALA LUMPUR : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh membuat pendedahan itu dalam satu temu bual bersama akhbar The Star.

"Saya telah berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri, khusus dalam Ekonomi dan Kewangan berkuat kuasa 3 Januari 2023.

“Saya harap melalui pengalaman saya sebagai seorang Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelbagai bidang seperti isu kemiskinan, teknikal serta pendidikan vokasional sejak empat dekad lalu mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara,” kata beliau memetik laporan akhbar berkenaan.

Beliau juga berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk mengembang dan memanfaatkan bakat-bakat tempatan yang cemerlang tidak kira dalam atau luar negara, serta menambah nilai kepada usaha sedia ada bagi menambah baik ekonomi rakyat.

Nurul Izzah sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk dua penggal dari 2008 sebelum ke Permatang Pauh, namun nasib tidak menyebelahi beliau apabila tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.