KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan hasil bedah siasat terhadap kematian Orang Kena Tahan (OKT) di dalam lokap sebuah balai polis di Kelantan mendapati tidak melibatkan sebarang kecederaan atau elemen jenayah.

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Azri Ahmad, punca kematian adalah paru-paru berair dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Kematian OKT di dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan pada 16 Januari 2022.

"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, Kelantan pada 17 Januari 2022.

"Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah paru-paru berair.

"Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, jelasnya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum
menyerahkan hasil siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan.

Pada 16 Januari lalu, PDRM mengesahkan berlaku satu kes kematian mengejut melibatkan OKT dan kes kematian tersebut dilaporkan pada pukul 4.35 petang pada hari yang sama.

OKT berkenaan merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun dan telah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

OKT telah direman selama empat hari bermula 16 hingga 19 Januari (Rabu) ini di Mahkamah Kota Bharu.