KUALA LUMPUR: Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, menjadikan amanat dari bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai azimat untuk dia yang bakal memulakan kempen Sukan Olimpik Tokyo 2020, esok.

Dia -- yang akan berdepan pemain Hungary, Laura Sarosi, tengah hari esok -- berdepan keraguan ramai dan menjadi sandaran tunggal dalam acara perseorangan wanita dalam temasya edisi ini yang tertangguh, namun Chong Wei selaku chef-de-mission (CDM) masih optimis dengan kemampuan Soniia.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu sempat bertemu pemain berusia 28 tahun itu untuk menyuntik kata-kata semangat terakhir sebelum Soniia bersama-sama tujuh lagi wakil negara berlepas ke Jepun, 17 Ogos lalu.

Semalam, Sarosi tunduk kepada jaguh Thailand, Ratchanok Intanon, dalam aksi Kumpulan N.

"Dia sering memberi dorongan kepada saya agar menjelmakan aksi terbaik.

"Ini kerana tekanan bukan ke atas saya.

"Saya mahu melakar kejutan ke atasnya, saya sedar ia bukan sesuatu yang mudah.

"Apapun saya akan curahkan segala yang terdaya," kata pemain di ranking ke-35 itu.