GENTING HIGHLANDS: Sebanyak 8,036 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di seluruh negara sehingga semalam.

Kesemua saman berkenaan dikeluarkan selepas JPJ memeriksa 44,737 kenderaan sejak operasi itu bermula pada 29 April lepas.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata ini menunjukkan bahawa masih ramai lagi pemandu yang mengingkari peraturan jalan raya dikeluarkan walaupun pihaknya sebelum ini telah menasihati pemandu agar mematuhi peraturan itu.

"Kami berharap untuk tempoh dua hingga tiga hari sebelum habis tempoh operasi HRA pada 8 Mei ini, kesalahan jalan raya dapat dikurangkan dan pengguna jalan raya terus mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan khas di Terminal Bas Genting Highlands, Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam opeasi khas teknikal JPJ itu, Lokman berkata sebanyak 11 bas diperiksa dan kesemuanya mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya operasi berkenaan bertujuan memastikan kenderaan awam terlibat berada dalam keadaan baik termasuk mempunyai brek kedua selain pemandu yang mematuhi undang-undang.

"JPJ amat bertegas dengan bas-bas ekspres dan persiaran yang membawa penumpang di Genting Highlands, faham-fahamlah di Genting Highlands ini laluannya sukar (laluan berselekoh berbahaya dan bergaung)," katanya.

Selain itu, Lokman berkata sebanyak 77 depot dan 28 terminal bas turut diperiksa sepanjang operasi HRA dan hasil pemeriksaan mendapati tiga pemandu bas positif dadah dan JPJ mengambil tindakan segera dengan menggantung lesen mereka.

Katanya sebanyak 27 kenderaan berat yang melanggar larangan berada di atas jalan raya semasa tempoh perayaan turut dikenakan tindakan.

"Pasukan Teknikal JPJ, telah menjalankan pemeriksaan dan penilaian khusus bagi memastikan spesifikasi tayar, lampu, reflektor dan sistem teknikal lain bas berfungsi pada tahap optimum," katanya.

Lokman berkata JPJ juga memantau tahap kepatuhan pemandu dan syarikat pengendali bas terhadap syarat lesen pengendali yang melibatkan syarat pemandu kedua, operasi kawasan yang dibenarkan serta kadar tambang yang dikenakan.

Selain itu, bas ekspres dan bas persiaran juga hendaklah memiliki sistem brek kedua untuk beroperasi di persekitaran seperti di Genting Highlands.

"Saya juga dimaklumkan, bagi bas yang didapati gagal memenuhi piawaian teknikal yang melibatkan sistem brek, tayar, lampu dan sistem teknikal lain, tindakan kompaun dan saman ke atas pemandu dan pengendali bas boleh dikenakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959," katanya.

Beliau berkata sekiranya didapati bas beroperasi melanggar syarat lesen pengendali, tindakan penggantungan lesen pengendali boleh dikenakan ke atas pengusaha bas selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62, Akta 715.

-- BERNAMA