KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki dan merampas pebagai barang seludup dan barang bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM3.6 juta menerusi Op Kontraban di Selangor dan Johor, pada Rabu dan Khamis lepas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata serbuan pertama dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Kajang, yang membawa kepada rampasan 25,306 kotak dan botol vape disyaki mengandungi nikotin.

"Serbuan kedua dilakukan di Johor Bahru, dan polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang terlibat dengan kegiatan menjual dan membeli semula minyak diesel bersubsidi.

"Dalam serbuan ini enam lelaki ditahan dan sejumlah 45,997 liter minyak diesel, empat lori, lima unit tangki minyak diesel pelbagai jenis dan peralatan dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan dalam operasi yang bermula dari 12 hingga 15 Julai lepas adalah RM3,688,850.

"Polis Diraja Malaysia melalui KDNKA (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) akan terus komited dalam melaksanakan operasi membanteras sindiket penyeludupan kontraban dan barangan kawalan atau subsidi agar ketirisan hasil negara dapat dibendung demi kepentingan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA