KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menangkap 18 individu kerana terlibat dengan sindiket melombong bitcoin melalui operasi "Op Power" dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya belum lagi menangkap lima lagi individu susulan kesemua mereka dilaporkan positif COVID-19.

Tambahnya, sindiket itu sebelum ini telah menyewa 998 premis di pelbagai lokasi seluruh negara bagi menjalankan aktiviti melombong bitcoin.

"Sehingga semalam, 18 orang telah ditangkap daripada 23 orang sepatutnya ditangkap. Lima lagi itu sebab COVID positif.

"Kedua, wang rasuah sebanyak lebih RM2.37 juta melibatkan 998 premis, maksudnya pembayaran rasuah dibayar untuk kegiatan mereka mencuri elektrik. Dibayar dalam tempoh tertentu, kami juga menyita wang tunai RM281,180, pembekuan aset di bawah AMLA 2001 membabitkan 97 individu, 29 syarikat  dan 126 akaun berjumlah RM4.47 juta," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Selasa. 

Jelasnya, pengusaha bitcoin berkenaan didakwa telah mencuri elektrik dengan menggunakan modus operandi tertentu.

"Antara modus operandi yang digunakan ialah, pengusaha bitcoin akan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan. Pembayaran rasuah dilakukan dengan dua cara bayaran iaitu tunai atau cara bulanan .
 
"Sindiket ini menggunakan mesin bitcoin terkini yang dibeli dari sebuah negara luar dan dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang dan diisytihar sebagai peralatan teknologi maklumat (IT)," ujarnya.

Justeru, penglibatan SPRM dalam kes curi elektrik berkenaan bertepatan dan kesalahan akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah iaitu kesalahan membayar kepada pihak tertentu untuk mencuri elektrik.

"Kedua, kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, antaranya Seksyen 403 bawah Kanun Keseksaan iaitu secara curangnya menggunakan harta kerajaan, dan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 di bawah Akta 447 iaitu kecurian elektrik.

"Selain itu, SPRM menggunapakai AMLA 2001 sebab mereka dapat keuntungan kecurian ini dan telah digunakan untuk pelbagai cara," jelas Azam lagi.

SPRM juga menggunakan teknik penyamaran bagi membolehkan pegawai TNB menjadi saksi kes kecurian elektik melibatkan sindiket bitcoin itu.

Antara cara penipuan sindiket termasuk menggunakan alat khas atau penebat elektrik secara terus atau tapping dari bekalan elektrik pengguna lain bagi tujuan mencuri atau mengurangkan jumlah penggunaan elektrik bulanan.

"Pihak penerima mendapat tawaran rasuah antara RM3,000 ke RM300,000 supaya tidak diambil sebarang tindakan penguatkuasaan dan membocorkan maklumat operasi. Hasil risikan bersama, SPRM mengesahkan kejadian berlaku hampir seluruh negara," katanya.

Tambah Azam,  data TNB sehingga kini menunjukkan kerugian mencecah RM2.3 bilion berikutan kecurian elektrik oleh sindiket bitcoin.