IPOH: Polis Perak mengeluarkan sebanyak 1,446 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina yang dijalankan di 12 lokasi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintenden Azizan Hassan berkata memandu laju merupakan kesalahan tertinggi dikesan dalam kalangan pengguna jalan raya yang menyaksikan sebanyak 1,247 saman dikeluarkan dalam operasi dari 8 pagi hingga 7 malam tadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 65 kesalahan adalah berkaitan nombor plat kenderaan, 45 membabitkan tali pinggang keledar dan 35 tiada lesen memandu.

"Sejumlah 23 saman juga dikeluarkan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), tujuh membabitkan penggunaan telefon bimbit dan empat kerana tidak mematuhi lorong betul serta kesalahan lain," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Azizan juga berkata polis menahan seorang lelaki Orang Asli berumur 31 tahun yang beralamat di Kampung Mangsok, Rancangan Penempatan Semula Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan kerana disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk pada Isnin.

Katanya lelaki yang bekerja di sebuah kilang kayu itu ditahan pada kira-kira 1 pagi di Ipoh dalam Op Mabuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA