Op Terjah: 1,220 premis kekurangan bekalan barangan asas - Fuziah

Bernama
Disember 25, 2022 22:15 MYT
Fuziah meninjau bekalan ayam mentah ketika memantau pelaksanaan SHMMP sempena Krismas di sebuah pasar raya di Kuantan semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN Azman Adam (depan, dua, kanan). --fotoBERNAMA
KUANTAN: Sebanyak 1,220 daripada 4,732 premis yang diperiksa menerusi Op Terjah di seluruh negara didapati mempunyai masalah kekurangan bekalan barangan asas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh.
Beliau berkata menerusi pemeriksan itu, telur ayam, gula, minyak masak peket selain tepung gandum antara bekalan keperluan yang didapati berkurangan dan usaha segera telah dilaksanakan untuk memulihkan bekalan.
"Beberapa faktor dilihat menjadi punca bekalan ini berkurangan antaranya isu pengangkutan, jadual bekalan dan ada juga ketika mereka habis bekalan orang dah buat aduan sebelum mereka sempat isi semula bekalan," katanya kepada pemberita selepas memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pasar raya, di sini semalam.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Sim Chon Siang dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Datuk Mark Ujin.
Ops Terjah yang mula dilaksanakan KPDN pada 16 Dis lepas, antaranya bertujuan melihat sendiri masalah bekalan dan harga barangan asas selain mengenal pasti zon atau kawasan yang terjejas dengan bekalan.
Mengulas mengenai SHMMP, Fuziah berkata sepanjang tiga hari ia dilaksanakan bermula Jumaat lepas, sebanyak 1,008 premis di seluruh negera telah diperiksa dan tiada kes atau aduan yang diterima oleh KPDN.
-- BERNAMA
#Fuziah Salleh #kekurangan bekalan barangan asas #op terjah #Skim Harga Maksimum Musim Perayaan