OPEC dan negara sekutu termasuk Rusia bersetuju meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 500,000 tong sehari bermula Januari.

Keputusan ini mengakibatkan harga minyak meningkat sedikit kepada sekitar AS$45 setong minyak mentah Amerika dan AS$48 untuk Brent.

Dalam masa yang sama, OPEC dan sekutu akan turut bertemu setiap bulan untuk memutuskan jumlah pengeluaran baharu.

Keputusan dicapai selepas rundingan sama ada untuk mengekalkan pemotongan atau menaikkan pengeluaran.

Permintaan minyak mentah tahun ini menurun akibat pandemik COVID-19 dan sekatan yang dikenakan untuk mengawal penularan.

Ketika ini OPEC dan sekutu memotong lebih 7.7 juta tong sehari.

Rusia dalam masa yang sama ingin pengeluaran ditingkatkan sebanyak 2 juta tong sehari secara beransur-ansur di masa hadapan.

Ketika ini pengeluar minyak berdepan dilema. Jika pengeluaran ditingkatkan, ia akan meningkatkan pendapatan.

Ini penting untuk membiayai pemulihan ekonomi masing masing namun ia akan menyebabkan harga minyak menurun.

Ini terutama dengan jangkaan permintaan yang masih lemah. Harga minyak membuka tahun ini pada sekitar AS$63 setong.