KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak peket yang beroperasi di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi tersebut bertujuan mendapatkan status sebenar jumlah minyak masak peket yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluaran dan pembungkusan.

Selain itu, ujarnya operasi berkenaan turut membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi tersebut.

"Kerajaan telah mengerahkan pihak penguat kuasa yang terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan

"Langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minyak Masak | Tidak sepatutnya timbul isu bekalan kurang - Zuraida

Perdana Menteri sebelum itu mempengerusikan mesyuarat NACCOL yang dihadiri beberapa menteri Kabinet serta wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Hadir sama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Sebanyak lima kertas dibentangkan dalam mesyuarat tersebut oleh KPDNHEP, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.

Beliau menambah, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak peket bersubsidi dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata mesyuarat turut bersetuju agar sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks keselamatan dalam negeri bagi mengatasi masalah tersebut, yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Kerajaan juga kata beliau akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

"PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

"Program yang akan diterajui bersama oleh KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan ini turut dilaksanakan dalam konsep bergerak," ujar beliau.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria, serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

Tegas beliau, kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin.