KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di enam stesen Laluan Ampang/Sri Petaling yang digantung sejak 2 April lalu akan beroperasi semula bermula Jumaat.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, operasi tren membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula kepada pengguna bermula jam 6 pagi.

Menurut kenyataan itu, pengoperasian semula dibuat selepas kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya selesai.

"Perkhidmatan dihentikan sementara sebelum ini susulan tren terlibat tidak dapat memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan atas faktor keselamatan.

"Faktor kegagalan ini disebabkan tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, susulan pengoperasian semula itu, perkhidmatan bas LRT11, LRT13 dan LRT14 yang disediakan sebagai alternatif kepada pengguna sejak gangguan perkhidmatan tren tersebut akan ditamatkan.

Dalam pada itu, Rapid Rail memaklumkan kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober ini.

"LRT Laluan Ampang/Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal selepas kerja pembaikan tersebut selesai.

"Bagaimanapun, jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat," katanya.

Bagi melancarkan operasi, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya sepanjang kerja pembaikan dilakukan.

"Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 bas dengankekerapan setiap 10 minit.

"Penumpang juga mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif.

"Mereka yang ingin menuju ke Hang Tuah boleh menaiki Monorel melalui Stesen Titiwangsa manakala yang ingin menuju ke Chan Sow Lin boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa, " katanya.

Gangguan perkhidmatan tren di Laluan Ampang/Sri Petaling bermula selepas insiden penjajaran landasan bengkok berhampiran LRT Bandaraya pada 27 Januari lalu.

Susulan itu, operasi tren dari LRT Bandaraya ke Masjid Jamek dihentikan atas faktor keselamatan manakala kekerapan tren dari Bandaraya ke Sentul Timur dikurangkan.

Bagaimanapun, pada 2 April lalu, Rapid Rail terpaksa menggantung operasi di enam stesen (Bandaraya ke Sentul Timur) selepas tren terlibat tidak memenuhi kriteria pengoperasian susulan tidak dapat dibawa ke depoh untuk penyelenggaraan sejak kejadian tersebut. - Sinar Harian