KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambahkan bilangan bas Mahkamah Bergerak di Sabah dan Sarawak sebagai usaha untuk mengoptimumkan operasi di kedua-dua negeri berkenaan.

Ia antara salah satu penambahbaikan yang bakal dilaksanakan melalui peruntukan RM12 juta yang disalurkan dalam Belanjawan 2023.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, operasi Mahkamah Bergerak itu disediakan bagi memastikan agar hak masyarakat di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak adalah terpelihara dan tidak dipinggirkan.

"Negeri Sabah, (Mahkamah Bergerak) membolehkan Majistret mendengar permohonan kes sijil daftar lewat kelahiran dan kematian, selain menjalankan prosiding kes sivil dan jenayah yang melibatkan pemohon yang tinggal di kawasan pedalaman atau kampung-kampung terpencil di seluruh Sabah.

"Negeri Sarawak, menyediakan kemudahan sokongan dalam urusan pengesahan dokumen bagi membolehkan pendaftaran sijil daftar lahir yang lewat di Pejabat Pendaftaran Negeri Sarawak," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menerusi peruntukan sama, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata lori akan turut disediakan bagi kegunaan mengangkut peralatan dan perkakasan teknologi maklumat serta peralatan fizikal lain.

Selain itu, beliau berkata kenderaan pacuan empat roda turut disediakan yang dilengkapi dengan pemancar satelit dan bas Mahkamah Bergerak dua tingkat yang bertindak sebagai Mahkamah dwi fungsi.

Jelas beliau lagi, Mahkamah Bergerak beroperasi menerusi dua kaedah iaitu persidangan mahkamah di mana-mana lokasi yang sesuai termasuk di dewan orang ramai, sekolah, rumah panjang atau mendirikan khemah di kawasan lapang yang bersesuaian.

"Selain itu, persidangan mahkamah dalam bas yang telah diubah suai sebagai Mahkamah Bergerak," ujar Azalina.

Katanya, kerajaan komited menambahbaik operasi Mahkamah Bergerak bagi memastikan kesamarataan dalam mendapatkan akses kepada keadilan bagi setiap lapisan masyarakat.