GERIK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang hilang di Kampung Selaoh di sini sejak Khamis minggu lalu ditangguhkan setelah enam hari tidak ditemui.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, penangguhan operasi mengesan Kamaliah Anab, 10, yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu itu diputuskan pada Rabu lalu dan akan diteruskan setelah mendapat petunjuk baharu.

"Pencarian mangsa melibatkan kawasan seluas enam kilometer di Hutan Temengor.

"Mangsa bagaimanapun gagal dikesan dan tiada sebarang petunjuk yang ditemui oleh pasukan penyelamat hingga hari terakhir," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa kali terakhir hanya memakai baju berwarna kuning dan berseluar berwarna jingga dengan membawa beg sandang.

"Berdasarkan laporan, mangsa disedari hilang ketika dalam perjalanan pulang selepas mencari hasil hutan bersama keluarga.

"SAR diaktifkan Jumaat lalu dengan dibantu pasukan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor (Senoi Praaq), bomba, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa)," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.