JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melakukan operasi bersama pihak polis untuk memastikan kawasan Pantai Stulang Laut, di sini yang merupakan lokasi tumpuan orang ramai untuk beriadah tidak menjadi lokasi aktiviti minum minuman arak.

Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman berkata isu itu telah lama berlaku, sehingga ia menyebabkan kekotoran, membuat pengunjung tidak selesa sekali gus mencemarkan keindahan di kawasan berkenaan.

"Minum minuman keras di kawasan ini adalah satu kesalahan dan kita boleh membuat teguran atau menahan sekiranya enggan mendegar arahan pihak berkuasa.

"Jadi kita harap selepas ini dapat buat operasi bersama pihak polis untuk memastikan kawasan Pantai Stulang Laut bukan tempat orang minum arak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Gotong-Royong Jom Indahkan Pantai Stulang Laut hari ini.

Beliau berkata selain melakukan aktiviti minum minuman keras sehingga mabuk, kawasan itu juga menjadi lokasi pemabuk membuang air kecil, pembuangan sampah, pergaduhan dan sebagainya.

Mohd Noorazam berkata, selain pemantauan bersama polis, orang ramai juga diharapkan dapat memberi kerjasama dan mempunyai kesedaran bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan selamat.

Hal ini kerana menurutnya, sekiranya kawasan berkenaan sentiasa bersih, ia akan mencerminkan kebersihan masyarakat di Johor memandangkan kedudukannya berdekatan dengan Tambak Johor yang menghubungkan antara Malaysia dengan Singapura.

"Kerjasama semua adalah amat penting dan jadilah masyarakat yang mahu bandar raya ini sentiasa selamat, bersih, cantik, menjadi pusat tarikan pelaburan dan tempat tinggal di dalam Malaysia," katanya.

-- BERNAMA