BELURAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas mandi sungai berhampiran sebuah ladang kelapa sawit, di sini, diperhebat dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Pengesan Anjing (K9).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, SAR disambung semula pada jam 6.53 pagi, Ahad.

Menurutnya, operasi hari kedua berkenaan membabitkan 15 anggota.

“SAR turut dibantu PPDA dari Bomba Zon Sandakan dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

“Kaedah SAR termasuklah pencarian atas permukaan air,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurutnya, sebarang perkembangan berkaitan SAR akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada Sabtu, seorang kanak-kanak lelaki, Mohd Ridwan Suprianto Mohd Aidil, empat tahun, dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di sungai berkenaan.