KUALA LUMPUR: Operasi Stesen LRT (Transit Aliran Ringan) Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi pada Sabtu, 28 Januari 2023.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, pelanjutan tempoh operasi itu adalah bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka meningkat susulan beberapa acara berlangsung di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Prasarana memaklumkan operasi semua stesen lain akan turut dilanjutkan bagi membolehkan penumpang menuju ke destinasi akhir.

"Manakala, operasi bas Rapid KL bagi laluan-laluan yang terpilih akan dilanjutkan sehingga 2.30 pagi.

"Berikutan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya, para penumpang dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif yang disediakan untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil," menurut kenyataan itu.

Prasarana juga menasihatkan penumpang untukterus membeli token perjalanan pulang sebaik sahaja tiba di Bukit Jalil atau menggunakan kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

"Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Anggota Polis Bantuan tambahan akan ditempatkan di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang.

"Pihak Prasarana meminta penumpang agar mematuhi peraturan ketika menggunakan perkhidmatan rel dan bas, termasuk sentiasa memakai pelitup muka.

"Kami memohon maaf di atas kesulitan akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya," menurut kenyataan itu lagi.

Pengguna boleh melayari laman sosial Prasarana bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung waktu operasi terkini, laluan alternatif dan perkhidmatan bas disediakan pada Sabtu.