NIBONG TEBAL: Seorang operator kilang parah selepas diserang dan ditetak enam lelaki tidak dikenali dalam kejadian di gerai makanan di Pasar Malam Taman Merak, Simpang Ampat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 25 tahun diserang semasa membeli laksa di sebuah gerai makanan di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk belakang kepala, tapak tangan dan paha.

Chong Chern berkata, mangsa yang diserang suspek bertopeng berlari masuk ke dalam kawasan perniagaan tapak pasar malam.

Katanya, menurut saksi, mangsa ditetak di tepi jalan semasa berlari dan terjatuh ke atas tanah sebelum diserang lagi oleh suspek.

"Mangsa telah dikejarkan ke  Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya, dan berada dalam keadaan kritikal selepas kehilangan banyak darah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Chong Chern berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kejadian berkenaan tular selepas  rakaman video seorang lelaki terbaring berlumuran darah selepas ditetak dimuat naik di media sosial.