SHAH ALAM: Masyarakat perlu diberi pemahaman mengenai hubung kait antara Kadar Dasar Semalaman (OPR), inflasi, kadar tukar wang dan pertumbuhan ekonomi.

Susulan itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah disaran untuk bersikap lebih terbuka kepada rakyat dalam menjelaskan tindakan selanjutnya khususnya terhadap OPR.

"Rakyat tidak faham bahawa kenaikan OPR boleh menurunkan inflasi, OPR yang rendah boleh meningkatkan inflasi. Rakyat tak faham tentang perkara itu, sebab itu bukan bidang mereka. Bidang ini bidang BNM.

"Jadi, tugas BNM adalah memahamkan bahawa kadar OPR yang lebih tinggi akan merendahkan dan menurunkan inflasi, kadar OPR rendah akan meningkatkan inflasi, jejaskan kos sara hidup, ekonomi rakyat dan negara. Jadi rakyat tak nampak hubungan itu.

"Sebab itu BNM perlu jelaskan sebelum buat pengumuman-pengumuman yang mereka sahaja yang faham. Rakyat perlu difahamkan. Tetapi saya tidak kata ia akan dinaikkan atau tidak dinaikkan," dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 di sini pada Rabu.

BACA: Kadar OPR dijangka naik dua kali lagi tahun depan

Ujarnya, ada pakar-pakar yang boleh memberikan komunikasi mudah difahami kepada rakyat mengenai hubungan OPR dengan kehidupan masyarakat seharian.

"Separuh daripada rakyat, kadar faedahnya (pinjaman) adalah tetap dan separuh lagi terapung. Mereka yang kadar faedahnya tetap tidak kaitan dengan OPR yang turun naik ini.

"Mereka yang kadar faedah (pinjaman) terapung akan ada kesan. Semua perkara itu hendaklah ditaklimatkan (oleh BNM). Saya cakap, fahamkan kepada rakyat segala perkara," jelas beliau.

Beliau juga sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa ketika ini belum ada sebarang keputusan berhubung kemungkinan kenaikan kadar OPR.